Suspek Tikam Pelajar Di Sekolah Sudah Ditahan Polis

KUALA LANGAT: Seorang suspek berjaya ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Banting, di sini, pagi tadi.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan pihaknya sedang memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Pada masa sama, keutamaan kini diberikan bagi memastikan mangsa menerima rawatan terbaik selain segala bentuk bantuan yang diperlukan disalurkan kepada keluarganya.

Menurut JPN Selangor, pasukan kaunselor bersama guru bimbingan dan kaunseling turut digerakkan bagi menyediakan intervensi sokongan psikososial kepada pelajar, guru serta seluruh warga sekolah yang terkesan dengan kejadian itu.

“Fokus utama ketika ini adalah memastikan kebajikan mangsa dan warga sekolah terus diberi perhatian, selain membantu mereka menghadapi kesan emosi susulan insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.

JPN Selangor turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan seorang pelajar perempuan cedera selepas dipercayai ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah di Banting, pagi tadi.

Sebelum itu, tular di media sosial rakaman video memaparkan suasana cemas di kawasan sekolah berkenaan apabila seorang wanita berpakaian serba hitam dilihat memegang sebilah pisau dan bergerak di sekitar kawasan sekolah, mencetuskan panik dalam kalangan warga sekolah.

BBerkaitan

Latest articles