KUALA LUMPUR: Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijadual mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan permohonan pengampunan yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perkara itu dilaporkan The Straits Times, hanya seminggu selepas lembaga berkenaan menangguhkan pertimbangan terhadap permohonan berkenaan dalam mesyuarat terdahulu.
Menurut sumber yang dipetik laporan itu, mesyuarat tambahan berkenaan jarang berlaku dan hanya mempunyai satu agenda.
“Ini adalah satu langkah yang sangat jarang berlaku. Secara tiba-tiba, lembaga ini akan mengadakan satu lagi mesyuarat dengan hanya satu agenda.
“Saya fikir terdapat campur tangan,” kata sumber itu.
Sebelum ini, mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 September lalu dilaporkan dijangka membincangkan permohonan pengampunan Najib, selain beberapa perkara lain.
Najib, 73, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah pada 2020 atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau pada awalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, sebelum hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.
Dalam perkembangan berasingan, Najib pada Disember 2025 disabitkan bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion, selain sedang mengemukakan rayuan terhadap sabitan tersebut.
Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia dari 2009 hingga 2018.










