KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa terkejut dan dukacita selepas mengetahui mengenai kewujudan aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan beberapa premis di negeri ini, sambil menitahkan agar ia dihentikan serta-merta.
Baginda menegaskan Pahang tidak boleh menjadi lokasi kepada perbuatan songsang dan menyeru rakyat menjauhi segala bentuk aktiviti yang melanggar norma serta adab masyarakat.
Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, baginda turut mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Perbandaran dan Pejabat Daerah untuk menjalankan pemantauan ketat, khususnya terhadap premis seperti spa yang berisiko dijadikan lokasi aktiviti terlarang.
Al-Sultan Abdullah menegaskan tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana individu atau pengusaha yang menyediakan ruang untuk kegiatan berkenaan, demi menjaga keharmonian dan maruah negeri Pahang.










