Sultan Pahang Cadang Hukuman Khidmat Masyarakat Diperkasa Bagi Kesalahan Syariah

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mencadangkan agar hukuman khidmat masyarakat diperkasakan sebagai antara bentuk hukuman alternatif bagi pesalah yang melakukan kesalahan jenayah syariah.

Baginda bertitah, pelaksanaan hukuman tidak seharusnya hanya tertumpu kepada unsur pembalasan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi medium pemulihan yang mampu membentuk keinsafan, memperbaiki akhlak serta membimbing pesalah kembali menghayati nilai-nilai Islam.

Menurut baginda, sistem perundangan syariah kini memasuki fasa baharu yang memerlukan pendekatan lebih progresif dengan memberi penekanan kepada aspek pemulihan dan pendidikan.

“Hukuman alternatif yang bersesuaian dengan kesalahan syariah perlu dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah memperkukuhkan peranan sistem keadilan syariah sebagai mekanisme untuk mendidik, membimbing dan memulihkan pesalah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Kali Ke-199 di sini, hari ini. Titah berkenaan turut disiarkan menerusi laman Facebook Kesultanan Pahang.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah turut berharap perbincangan berhubung pelaksanaan hukuman alternatif itu dapat menghasilkan keputusan yang menyeluruh, praktikal dan berpandangan jauh bagi memperkukuh pentadbiran keadilan syariah di negeri Pahang.

Dalam perkembangan sama, baginda menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Majlis Kesultanan Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta Jabatan Pendakwaan Syariah Pahang atas kejayaan menerima Sijil Pengiktirafan Unggul Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) 2026.

Baginda menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti komitmen berterusan agensi-agensi kerajaan negeri dalam memperkukuhkan tadbir urus, membudayakan integriti serta melaksanakan usaha pencegahan rasuah secara sistematik dan berkesan demi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

BBerkaitan

Latest articles