MPOB Perkukuh Inovasi, Produktiviti Industri Sawit Negara Menerusi PALMS 2030

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus mempergiat usaha memperkukuh daya saing industri sawit negara menerusi penyelidikan, pembangunan teknologi dan inovasi, khususnya dalam meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi sektor berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kecemerlangan tenaga kerja serta keupayaan penyelidikan dan inovasi menjadi asas penting dalam memastikan industri sawit negara kekal berdaya saing dan mampan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2026 yang dirasmikannya pada 25 November lalu, bagi mengiktiraf pencapaian, dedikasi serta sumbangan warga agensi itu.

Menurutnya, MPOB memainkan peranan penting dalam membantu pekebun kecil menangani pelbagai cabaran berkaitan penanaman sawit, selain membangunkan teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi di peringkat kebun serta kilang.

Katanya, usaha memperkukuh industri sawit turut digerakkan menerusi pelaksanaan PALMS 2030 yang menetapkan lima teras utama sebagai panduan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penerapan teknologi.

Lima teras berkenaan merangkumi produktiviti, automasi, rendah karbon, kebolehpasaran dan kemampanan bagi memastikan industri sawit negara terus berkembang serta mampu menghadapi cabaran semasa dan masa depan.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Kecemerlangan MPOB 2026 sambil berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin kepada seluruh warga agensi berkenaan untuk terus meningkatkan prestasi dan menghasilkan inovasi berimpak tinggi.

Usaha berterusan itu penting bagi memastikan MPOB kekal memainkan peranan strategik dalam memacu kemajuan industri sawit negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor komoditi berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles