Konsesi KL-Karak Terus Kutip Tol Hingga 2069

KUALA LUMPUR: Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijangka terus membayar tol sehingga 2069 berikutan perjanjian konsesi lebuh raya itu hanya akan tamat pada 31 Disember tahun berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan tidak berhasrat mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya itu atau menamatkan kutipan tol lebih awal.

Beliau berkata, kali terakhir kerajaan membayar pampasan kepada syarikat konsesi susulan penangguhan kenaikan kadar tol adalah pada 2021 berjumlah RM3.61 juta.

“Tiada lagi bayaran pampasan penangguhan kenaikan kadar tol selepas tahun tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (PH-Raub) mengenai baki tempoh konsesi KLK, jumlah pampasan yang dibayar kerajaan serta sama ada kajian kebolehlaksanaan dan implikasi kewangan telah dijalankan bagi mengambil alih konsesi atau menamatkan kutipan tol lebih awal.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, kerajaan tidak bercadang mengambil alih mana-mana syarikat konsesi lebuh raya bertol atau menamatkan perjanjian konsesi lebih awal ketika ini.

Menurutnya, tindakan sedemikian membabitkan pelbagai implikasi, khususnya dari segi kewangan kerajaan, selain berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur terhadap industri lebuh raya.

“Pada masa ini, Kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil alih mana-mana syarikat konsesi lebuh raya bertol atau menamatkannya lebih awal kerana ia melibatkan pelbagai implikasi, khususnya implikasi kewangan kepada Kerajaan.

“Selain daripada itu, tindakan sedemikian juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap industri lebuh raya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan tiada sebarang kajian kebolehlaksanaan bagi mengambil alih konsesi atau menamatkan kutipan tol lebih awal dilaksanakan ketika ini.

BBerkaitan

Latest articles