Strategi BN-PN Sudah Dijangka, PH Tidak Tergugat Hadapi PRN Negeri Sembilan

​SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) menegaskan mereka sama sekali tidak tergugat dengan sebarang percaturan politik pihak lawan, termasuk kemungkinan wujudnya kerjasama strategik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

​Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan langkah dan perancangan yang diatur oleh blok pembangkang itu sebagai sesuatu yang sudah dijangka oleh pimpinan PH.

​Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan pengalaman dan perkembangan landskap politik sebelum ini, termasuk situasi pada PRN Johor, PH memilih untuk tidak membuang masa memikirkan strategi lawan, sebaliknya mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persediaan jentera sendiri.

​”Ini (strategi PN dan BN) sudah pun dijangka dan jelas… itu adalah pilihan mereka. Jadi, PH akan fokus kepada kekuatan kita sendiri untuk memenangi kerusi yang ditandingi,” katanya.

​Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI dan Santuni MADANI Kementerian Pengangkutan Tahun 2026 di Kampung Mantin Dalam, hari ini.

​Kenyataan Loke itu bagi mengulas laporan mengenai rundingan kawasan dan strategi pengagihan kerusi yang melibatkan kerjasama antara BN dan PAS dalam usaha mereka menembusi kubu pertahanan PH di Negeri Sembilan.

​Menurut Loke, apa yang menjadi keutamaan PH ketika ini adalah memastikan kesepakatan dan keharmonian antara parti komponen berada pada tahap tertinggi sebelum melangkah ke gelanggang pilihan raya.

​Jelas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah itu lagi, PH mempunyai sandaran kukuh untuk terus meraih keyakinan pengundi berdasarkan rekod cemerlang pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak tahun 2018.

​Diminta mengulas mengenai spekulasi peralihan sokongan pengundi Cina kepada parti lawan seperti MCA, Loke bagaimanapun enggan melatah dan menyerahkan perkara tersebut kepada kebijaksanaan rakyat.

​”Kita (PH) juga akan memberikan saingan yang sengit. Saya rasa tidak perlu mengulas terlalu banyak kerana sebelum pilihan raya semua pihak boleh mendakwa mereka mendapat sokongan. Yang penting ialah keputusan pada hari pengundian nanti,” tambah beliau.

BBerkaitan

Latest articles