Skrin LED MPK Digodam, Tayang Gambar Dan Video Lucah Di Sekitar Kluang

KLUANG: Majlis Perbandaran Kluang (MPK) mengambil tindakan segera menutup semua skrin paparan LED di bawah seliaannya selepas sistem berkenaan digodam sehingga memaparkan kandungan berunsur lucah, semalam.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas beberapa skrin LED di sekitar bandar Kluang didapati menayangkan gambar dan video tidak senonoh sebelum kejadian berkenaan tular di media sosial.

Antara lokasi yang terjejas termasuk Dataran Tasik Kluang, Taman Intan serta kawasan berhampiran laluan menghala ke Kahang.

Susulan kejadian itu, MPK mengesahkan pihaknya sudah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Dalam kenyataan, MPK memaklumkan siasatan turut dilakukan dengan kerjasama pihak vendor bagi mengenal pasti punca pencerobohan sistem berkenaan.

Menurutnya, langkah pemulihan sedang diambil selain usaha memperketatkan aspek keselamatan sistem bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

MPK turut menyampaikan permohonan maaf kepada penduduk atas insiden yang menimbulkan keresahan dan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, mengesahkan sistem paparan LED milik MPK telah digodam.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bertindak menutup kesemua skrin LED sebaik menyedari kejadian berkenaan sebagai langkah segera bagi mengelakkan paparan kandungan tidak senonoh terus disiarkan.

BBerkaitan

Latest articles