KUALA LUMPUR: PETRONAS merekodkan hasil sebanyak RM152.4 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, disokong peningkatan pengeluaran domestik serta jualan gas asli cecair (LNG).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata peningkatan itu turut dipacu jualan gas diproses dan harga realisasi purata lebih tinggi bagi produk utama susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat minyak dan gas negara itu turut berdepan peningkatan kos jualan, khususnya bagi import dan pemprosesan minyak mentah.
Keadaan itu susulan komitmen PETRONAS memastikan operasi terus stabil serta bekalan tenaga negara kekal terjamin dan mampan meskipun harga pasaran menunjukkan pengukuhan.
Dalam aspek tanggungjawab sosial korporat (CSR), Azalina berkata PETRONAS melaksanakan lebih 1,000 inisiatif antara 2020 hingga tahun lalu bagi membantu masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Menurutnya, program berkenaan dirangka secara inklusif dengan kerjasama kerajaan dan agensi tempatan bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan secara berkesan serta memberi kesan berpanjangan kepada komuniti.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (GRS-Penampang) mengenai pendapatan PETRONAS daripada jualan minyak sejak Februari lalu serta jumlah sumbangan kepada kerajaan untuk membiayai program bantuan rakyat dan pembangunan.










