KUALA LUMPUR: Perbezaan pendirian antara kementerian dalam menangani sesuatu isu tidak bermakna kerajaan berdepan perpecahan, sebaliknya sebahagian daripada proses pertimbangan dasar sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap kementerian mempunyai tanggungjawab, bidang kuasa dan keutamaan tersendiri yang perlu diambil kira dalam merangka serta melaksanakan dasar kerajaan.
Menurutnya, penyelarasan antara kementerian sentiasa diberi perhatian bagi memastikan dasar kerajaan tidak bercanggah, mengelakkan pertindihan fungsi serta menjamin setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat dan keutamaan pembangunan negara.
Beliau berkata, pertimbangan turut mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan bagi memastikan pelaksanaan dasar dapat dilakukan secara berkesan.
“Bagi memastikan tadbir urus berkesan, setiap dasar dan keputusan kerajaan hendaklah melalui proses pertimbangan serta penyelarasan sewajarnya.
“Perkara yang memerlukan keputusan kolektif akan dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, selaras prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), berhubung tindakan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang didakwa mengeluarkan pendirian bercanggah secara terbuka mengenai beberapa isu kebelakangan ini.
Anwar turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memastikan setiap inisiatif yang dirancang memberikan hasil nyata dan mampan kepada rakyat.
Katanya, pemantauan terhadap pencapaian setiap inisiatif akan diteruskan bagi memastikan keputusan yang dibuat bukan sekadar dasar di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata, prestasi ekonomi negara turut dipantau secara berterusan berdasarkan data dan petunjuk ekonomi semasa.
Langkah itu penting bagi menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan, selain memastikan daya tahan ekonomi negara terus diperkukuh ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global.










