KUALA LUMPUR: Kebimbangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan keadaan kesihatan penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh dijawab sendiri oleh R. Sivarasa.
Mengakui berdepan dengan masalah peti suara, bagaimanapun Sivarasa berkata beliau mempunyai cara yang tersendiri untuk berkempen jika PKR terus memilihnya untuk mempertahankan kerusi itu.
“Sepanjang tiga bulan lalu, saya menghadapi masalah dengan pita suara dan kini menggunakan pembesar suara untuk bercakap sekali gus menjaga suara saya.
“Saya telah terangkan bahawa saya mempunyai pandangan yang berbeza dan cara saya menguruskan kempen secara berbeza dengan mengambil kira keadaan suara saya,” jelas beliau.
Namun, Sivarasa berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh Anwar sebagai Pengerusi PH dan Presiden PKR.
“Dia (Anwar) mempunyai hak untuk membuat keputusan akhir dengan mengambil kira pandangannya tentang keadaan kesihatan saya dan sebarang faktor lain yang dia anggap relevan,” katanya lagi.
Sivarasa digugurkan oleh PKR dan digantikan timbalan ketua penerangannya, Datuk R Ramanan.
Pada PRU14 lalu, Parlimen Sungai Buloh dimenangi oleh Sivarasa selepas memperoleh majoriti 26,634 undi menewaskan Nuridah Salleh dari Pas, A Prakash Rao mewakili BN dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Sementara itu Sivarasa memaklumkan bahawa Anwar sudah mengetahui lebih awal pencalonan Khairy Jamaluddin di Sungai Buloh.
“Pencalonan Khairy Jamaluddin di Sungai Buloh sudah kita ketahui beberapa hari dan Anwar sudah membawa pencalonan itu kepada perhatian saya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.