Siasatan Kehilangan Pamela Ling Belum Diperluas, Tunggu Arahan DPP

KUALA LUMPUR: Polis belum membuat keputusan untuk memperluaskan siasatan berhubung kehilangan ahli perniagaan, Pamela Ling, termasuk sama ada membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selagi tiada bukti baharu atau arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kertas siasatan yang diserahkan kepada DPP pada 24 April lalu masih dalam proses semakan, manakala polis setakat ini belum menerima sebarang arahan berkaitan tindakan susulan.

Beliau berkata, tumpuan siasatan ketika ini adalah untuk mengumpul fakta, meneliti setiap petunjuk serta mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah berdasarkan bukti yang diperoleh dan keterangan saksi.

“Sehubungan itu, sebarang keputusan untuk memperluaskan skop siasatan sehingga membabitkan mana-mana pihak, termasuk SPRM, hanya akan dipertimbangkan sekiranya terdapat bukti baharu atau berdasarkan arahan lanjut daripada DPP,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, semalam.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang meminta penjelasan mengenai perkembangan siasatan kehilangan Pamela serta sama ada SPRM turut menjadi subjek siasatan.

Saifuddin berkata, polis telah menjalankan siasatan secara menyeluruh dengan meneliti pelbagai aspek kes, selain merakam keterangan daripada individu berkaitan bagi melengkapkan kronologi kejadian.

Pamela, yang terbabit dalam pertikaian sivil berhubung pemilikan saham serta prosiding perceraian, sebelum ini dipanggil memberi keterangan kepada SPRM pada Januari 2025.

Beliau kemudian ditahan, direman dan dibebaskan dengan jaminan berserta syarat melapor diri kepada SPRM serta larangan ke luar negara, yang dilaporkan dipatuhinya.

Wanita itu dilaporkan hilang pada 9 April 2025 ketika dalam perjalanan menghadiri temu janji di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Polis sebelum ini memaklumkan Pamela dipercayai diculik ketika menaiki sebuah kenderaan e-hailing, dengan siasatan turut mendapati lima kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Sebelum kehilangannya, Pamela memfailkan semakan kehakiman terhadap SPRM dengan mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa, penahanan secara tidak sah serta pelanggaran hak perlembagaannya.

Pada Jun tahun lalu, polis dilaporkan telah merakam keterangan 49 individu, termasuk suami dan anak-anak mangsa, namun sehingga kini siasatan masih belum menemukan petunjuk baharu berhubung kehilangan wanita berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles