Tatakelola Badan Berkanun Diperketat, Elak Ketirisan Wang Awam

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah memperkemas sistem tadbir urus dan pengurusan kewangan sektor awam bagi memastikan wang rakyat tidak terdedah kepada ketirisan serta penyalahgunaan kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan itu turut memberi tumpuan kepada Badan Berkanun Persekutuan yang memerlukan sistem kawalan, integriti dan akauntabiliti diperkukuh secara berterusan.

Katanya, perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikannya hari ini.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan semata-mata tidak memadai sekiranya tidak disusuli usaha membentuk budaya kerja yang berteraskan integriti dalam kalangan sektor awam, swasta dan masyarakat.

“Penguatkuasaan undang-undang mesti bergerak seiring dengan usaha membudayakan integriti serta tatakelola yang baik secara berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam mesyuarat sama, kerajaan turut bersetuju menjalankan kajian perundangan bagi menyediakan dasar, hala tuju tadbir urus serta draf Rang Undang-Undang (RUU) Khairat.

Kajian berkenaan bertujuan mewujudkan kerangka kawal selia terhadap entiti amanah dan aktiviti pendanaan awam, sekali gus memastikan dana yang dikendalikan atas dasar amanah diurus secara telus serta bertanggungjawab.

Kerajaan juga bersetuju dengan cadangan untuk melaksanakan Pembudayaan Nilai Perkhidmatan Awam sebagai sebahagian usaha memperkukuh nilai integriti dalam penyampaian perkhidmatan.

Pada masa sama, Anwar berkata dasar bagi RUU Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) dijadual dibawa ke Jemaah Menteri tahun ini.

Beliau berkata, cadangan itu antara lain bertujuan memperkemas disiplin kewangan serta meningkatkan tahap kebertanggungjawaban dalam pengurusan badan berkanun dan entiti berkaitan.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan tujuh resolusi yang dibentangkan semasa Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kelima pada 25 September lalu,” katanya.

Anwar menegaskan, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh agenda integriti bagi memastikan kelemahan tadbir urus tidak membuka ruang kepada ketirisan atau salah guna kuasa.

Beliau berkata, pengurusan wang awam perlu sentiasa berlandaskan prinsip amanah kerana setiap ringgit yang dibelanjakan adalah hak rakyat, manakala kuasa yang diberikan kepada kerajaan hendaklah digunakan untuk kepentingan dan kesejahteraan mereka.

BBerkaitan

Latest articles