KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menegaskan kesediaannya meletakkan jawatan sekiranya dakwaan beliau menyesatkan orang ramai berkaitan ajaran New Age Movement (NAM) dapat dibuktikan.
Beliau sebaliknya mencabar pihak yang membuat tuduhan itu supaya mengemukakan bukti menerusi saluran mahkamah, bukannya terus melemparkan dakwaan tanpa pembuktian.
“Saya letak jawatan hanya apabila terbukti saya betul-betul menyesatkan orang, betul-betul ada orang yang saya sesatkan. Buktikan di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Hi-Tea Bersama Sahabat Wakaf Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), hari ini.
Mengulas pertemuannya dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung kontroversi itu, Marhamah berkata, pihak berkenaan sudah mengeluarkan kenyataan rasmi dan beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenainya.
“Saya tak boleh ulas. Doakan semoga Allah jaga kita semua,” katanya.
Pada 18 September lalu, Marhamah menafikan dakwaan mengaitkan dirinya dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran NAM.
Beliau turut memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan tuduhan berkenaan supaya menarik balik kandungan terbabit dan membuat permohonan maaf.
Pejabatnya sebelum ini menjelaskan bahawa tangkap layar hantaran Marhamah bertarikh 20 September 2019 yang dipersoalkan itu ditulis dalam konteks pembangunan insan, bukannya sebagai tanda sokongan atau pengiktirafan terhadap keseluruhan pegangan, ajaran mahupun amalan individu yang dirujuk.
Penjelasan itu turut menegaskan Marhamah tidak pernah berguru, menghadiri kelas, bertemu atau berhubung secara langsung dengan individu berkenaan.
Beliau juga menafikan pernah mengajar, mempromosikan atau menyebarkan amalan seperti yang didakwa.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata, pihaknya sedang menjalankan penelitian menyeluruh berhubung isu berkenaan, termasuk mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun dengan Marhamah bagi mendapatkan penjelasan secara langsung.
Proses itu turut membabitkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah Jakim serta pihak berkaitan bagi meneliti dakwaan yang dibangkitkan.










