Shahrol Shiro Lapor Polis, Dakwa Harith Iskandar Hina Agama

KUALA LUMPUR: Selebriti Shahrol Azizie Azmi atau terkenal sebagai Shahrol Shiro membuat laporan polis berhubung hantaran media sosial dimuat naik pelawak, Harith Iskander.

Menerusi laporan polis yang dikongsi di laman Facebooknya, Shahrol juga membuat aduan terhadap seorang individu dikenali Cecelia Yap Song KL.

“Harith & Cecelia, repot polis ON,” kata Shahrol dalam hantaran itu.

Dalam laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Shahrol menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan, kerana hantaran Harith dan komen Cecelia, didakwa menghina kesucian Islam dan mempermainkan nama Nabi Muhammad.

Minggu lalu, dalam hantaran Facebook, Harith secara berseloroh menyatakan “saya begitu keliru. iman saya tergugat” apabila beliau mempertimbangkan untuk menikmati “Ham Sap Kopi”. Perkara itu mengundang kecaman netizen terutamanya kalangan umat Islam.

Bersama hantaran itu, Harith turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ham sap kopi berharga RM5.50.

Gambar itu dipercayai diambil dari gambar senarai menu kopi yang dijual premis rangkaian jualan minuman kopi tempatan yang berniaga menggunakan trak makanan.

Harith membuat jenaka itu di tengah-tengah kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ didakwa tidak mempunyai perakuan halal dengan produk itu dijual kedai serbaneka di Universiti Malaya.

BBerkaitan

Latest articles