PUTRAJAYA: Pertikaian berhubung pembatalan pelantikan 10 bekas Exco Negeri Sembilan bakal dibawa ke Mahkamah Persekutuan pada 16 Disember ini bagi menentukan persoalan undang-undang berkaitan kuasa pemerintah negeri.
Tarikh pendengaran itu disahkan peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili bekas exco terbabit dan Marisa Regina Mohd Aris Rizal bagi pihak kerajaan Negeri Sembilan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Azaraorni Abd Rahman.
Permohonan yang difailkan pada 14 Oktober lalu itu bertujuan mendapatkan tafsiran mahkamah terhadap beberapa peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah sama ada Yang Dipertuan Besar boleh membatalkan pelantikan exco tanpa nasihat Menteri Besar, selain kesahihan keputusan pembatalan berkenaan mengikut perlembagaan negeri.
Mereka turut memohon penentuan sama ada pembatalan pelantikan yang diwartakan pada 24 September lalu boleh dianggap tidak sah dan tidak mempunyai kuat kuasa sekiranya didapati bercanggah dengan peruntukan berkenaan.
Sebelum itu, kesemua mereka memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Oktober lalu untuk mencabar kesahihan pembatalan pelantikan masing-masing.
Krisis itu tercetus selepas Istana Negeri Sembilan pada 20 September lalu mengumumkan pembatalan pelantikan 10 exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut warta yang diterbitkan, pelantikan mereka dibatalkan atas alasan didakwa melanggar sumpah taat setia kepada Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, apabila bersetuju melucutkan baginda daripada jawatan berkenaan.
Sepuluh bekas exco terbabit ialah ialah Suhaimizan Bizar (Gemencheh), Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Siow Kong Choon (Chennah) dan Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng).
Selain itu adalah Siti Nur Umairah Hasim (Labu) serta dua Adun yang dilantik semula sebagai Exco Datuk Mustapha Nagoor (Palong) dan Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi).










