KUALA PILAH: Kerajaan Selangor sedang meneliti sama ada terdapat keperluan dari sudut perundangan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan dakwaan membabitkan kelayakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semakan sedang dijalankan bersama penasihat undang-undang bagi mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah menerima maklumat awal berhubung isu berkenaan, namun ia perlu disahkan terlebih dahulu bagi menentukan sama ada benar berlaku kehilangan atau keguguran kelayakan seseorang ADUN.
“Kita ada menerima sedikit maklumat tersebut. Saya sedang menyemak dengan penasihat undang-undang.
“Kita perlu membuat verifikasi terhadap dakwaan itu, sama ada benar wujud isu keguguran atau kehilangan kelayakan seseorang Ahli Dewan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.
Amirudin berkata, sekiranya hasil semakan mendapati syarat perundangan untuk mengadakan PRK dipenuhi, kerajaan negeri akan segera memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya sedang mendapatkan pandangan penasihat undang-undang mengenai keperluannya. Jika perlu dimaklumkan kepada SPR, kita akan berbuat demikian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dijangka memberi penjelasan mengenai isu tersebut ketika persidangan DUN yang dijadual berlangsung pada 3 Ogos ini.
“Berkemungkinan Speaker akan memaklumkan perkara itu dalam sidang dewan pada 3 Ogos nanti kerana kita memang mempunyai persidangan pada tarikh tersebut,” katanya.










