Oleh Ahmad Fiedaus
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung, pelbagai naratif politik mula dimainkan bagi mempengaruhi sentimen pengundi.
Namun jika diteliti sejarah pilihan raya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, satu hakikat tidak boleh dinafikan bahawa Bangsa Johor tidak pernah terikat kepada mana-mana parti politik secara mutlak.
Sebaliknya, pengundi Johor dilihat cenderung membuat keputusan berdasarkan penilaian terhadap prestasi, kepimpinan dan keperluan semasa.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, rakyat Johor mencipta sejarah apabila menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang telah mentadbir negeri itu selama beberapa dekad.
Empat tahun kemudian, landskap politik negeri berubah sekali lagi apabila BN memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tidak lama selepas itu, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pula menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Parlimen terbanyak di Johor apabila menguasai 15 daripada 26 kerusi yang dipertandingkan.
Pemerhati politik melihat perkembangan tersebut sebagai bukti bahawa pengundi Johor tidak teragak-agak untuk membuat perubahan apabila merasakan ia perlu dilakukan.
Malah, keputusan pilihan raya dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan kecenderungan pengundi negeri itu untuk menilai setiap gabungan politik berdasarkan prestasi semasa dan tawaran masa depan, bukannya semata-mata bergantung kepada rekod kemenangan lalu.
Sehubungan itu, semua parti yang bertanding menjelang PRN Johor perlu tampil dengan dasar yang jelas, kepimpinan yang diyakini serta pelan pembangunan yang mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Dalam keadaan ekonomi global yang masih berdepan pelbagai cabaran, Johor dilihat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi utama negara.
Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan sektor digital dan pusat data, pelabuhan bertaraf antarabangsa serta kedudukan strategik berhampiran Singapura dilihat mampu membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan kepada rakyat negeri itu.
Bagaimanapun, pemerhati berpendapat potensi berkenaan memerlukan kestabilan politik, dasar yang konsisten serta kerjasama berkesan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan dapat dipercepatkan.
Justeru, persoalan utama yang bakal dinilai pengundi bukan lagi mengenai siapa yang pernah menang atau kalah dalam pilihan raya terdahulu.
Sebaliknya, tumpuan dijangka terarah kepada parti atau gabungan yang mampu menawarkan penyelesaian terbaik bagi menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan memastikan pembangunan Johor dapat diteruskan secara mampan.
Sejarah pilihan raya negeri itu membuktikan bahawa Bangsa Johor sentiasa bersedia membuat keputusan berdasarkan pertimbangan mereka sendiri. Dan sekali lagi, kuasa untuk menentukan hala tuju Johor berada di tangan rakyat.
Artikel ini merupakan pandangan penulis yang diterima melalui email The Rakyat Insight. Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian, pandangan atau dasar editorial penerbitan ini










