KUALA LUMPUR: Satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) perlu diadakan sekiranya UMNO membuat keputusan untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias juga berkata jika EGM itu mencapai kesepakatan, maka kesemua Ahli Parlimen perlu bersetuju sekiranya ada ketetapan baharu kelak.
Jalaluddin bagaimanapun menegaskan pendiriannya untuk kekal menolak kerjasama dengan PH.
“Saya harus dengar keputusan yang diambil kepimpinan parti hari ini. Sebagai Ahli Parlimen saya akan lihat dulu keputusan kerana kita tidak pernah buat sebarang keputusan untuk bersama (sokong) PH) .
“Ssaya masih lagi berpegang dengan keputusan yang dibuat UMNO, yakni tidak akan bekerjasama dengan PH.
“(Kalau nak kerjasama dengan PH) parti perlu panggil EGM tidak boleh diputuskan sesiapa sahaja saya pun sebab perkara berkenaan sudah diputuskan sebelum ini.
“Saya tetap dengan keputusan saya bertanding di atas tiket BN. Parti sudah buat keputusan sebelum ini kalau ada kalau ada keputusan selain itu maka perlu ada ketetapan baru yang dipersetujui semua Ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita ketika tiba di Menara Dato’ Onn untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Saravanan berkata, Ahli Parlimen BN perlu sepakat dengan keputusan parti yang bakal dibuat pada hari ini.
“Pilihan hati sudah ada tapi kena tengok pilihan parti,” katanya ringkas ketika tiba di Ibu Pejabat UMNO itu hari ini.