Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Teluk Kemang, Farid Hashim kesal dengan tindakan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebarkan berita palsu berkaitan bilangan pendatang tanpa izin di negara ini dan operasi kedai nombor ramalan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Tindakan itu, ujarnya menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan rakyat.
Anwar dipercayai menyebarkan dua perkara berkenaan ketikan mengadakan siaran langsung di Facebooknya.
Farid kemudiannya membuat laporan polis dan menggesa tindakan diambil terhadap Anwar.
“Kesalahan ini amat serius memandangkan kedudukan beliau selaku presiden PKR dan ahli parlimen.
“Kenyataan beliau menjadi bahan berita banyak pihak.
“Satu tindakan harus diambil dan saya membuat laporan ke atasnya. Jangan nanti rakyat melihat jika orang biasa memulakan berita palsu ditahan dipenjara, didenda tetapi pemimpin politik tidak dikenakan tindakan,” katanya.
Jabatan Perangkaan sebelum ini mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sebarang data rasmi mengenai bilangan pendatang tanpa izin.
Sementara itu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyiasat 262 kes berita palsu berkaitan Covid-19 sehingga 11 Mei.
Daripada jumlah itu, 179 masih dalam siasatan manakala 29 telah didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.