MUAR: Selepas menempuh ‘badai’ politik dan turun naik mahkamah selama sedekad, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman memberi bayangan mahu memperlahankan rentak politiknya demi mengejar kebahagiaan peribadi.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mendedahkan, fokus utamanya kini adalah untuk memasuki fasa baharu kehidupan dengan membina rumah tangga, berbanding memikirkan soal kembali menerajui parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Menurutnya, keputusan itu diambil selepas lebih 10 tahun masanya dihabiskan tanpa henti demi perjuangan politik sejak tahun 2014.
”Sejujurnya sekarang saya mahu fokus membina rumah tangga terlebih dahulu. Ini bukan jawapan selamat, ini jawapan yang jujur dan ikhlas, memang daripada hati ke hati.
”Sejak saya mula berpolitik pada 2014 atau 2015, saya tidak berhenti. Dalam tempoh itu bukan saya seorang melaluinya, satu keluarga lalui perkara sama,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Muar, hari ini.
Bagaikan memberi singal ‘bunga-bunga cinta’ sedang berkembang, pengakuan jujur anak muda berusia 34 tahun ini pastinya mencuri tumpuan peminat landskap politik tanah air yang sering tertanya-tanya tentang status peribadinya.
Langkah ini diambil susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang mengekalkan pembebasannya daripada empat pertuduhan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Sebelum ini pada November 2023, Syed Saddiq mengambil langkah berani mengosongkan jawatan Presiden MUDA bagi membersihkan namanya di mahkamah, selain mengundurkan diri daripada sebarang penglibatan politik parti sepanjang tempoh berkenaan.
Walaupun meletakkan kehidupan peribadi di hadapan, Syed Saddiq memberi jaminan bahawa tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di Parlimen tidak akan sesekali diabaikan.
”MUDA hari ini dipimpin oleh Amira Aisya (Abd Aziz). Ini bukan soal parti milik saya sahaja kerana ada proses pemilihan yang perlu dilalui,” katanya.










