KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merayu orang ramai supaya mendoakan agar keadilan dapat ditegakkan menjelang keputusan rayuan akhir kes yang dihadapinya di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, hari ini.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, selepas enam tahun berdepan proses perundangan, beliau percaya sudah melakukan segala yang termampu untuk mempertahankan dirinya dan kini hanya mampu berserah kepada Allah SWT.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut beliau tidak pernah memohon penangguhan kes, tidak mencari jalan pintas dan tidak meminta layanan istimewa.
“Enam tahun saya melawan demi keadilan. Sepanjang enam tahun ini, saya tidak pernah minta kes ini ditangguh. Saya tidak pernah minta jalan pintas. Saya tidak pernah minta layanan istimewa.
“I faced it head on. I dared to fight, because my conscience is clear,” katanya menerusi satu kenyataan yang turut disertakan dengan rakaman video pada malam tadi.
Beliau turut menegaskan bahawa segala usaha telah dilakukan bagi mempertahankan kebenaran sebelum menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada ketentuan Allah SWT.
“Saya sudah pertahankan kebenaran dengan segala kudrat kini, saya serahkan seluruhnya kepada Allah SWT kerana selepas manusia berusaha, Allah-lah sebaik-baik penentu,” katanya lagi.
Hari ini, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal mengetahui nasib rayuan akhir pendakwaan terhadap keputusan yang membebaskannya daripada pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana ARMADA di Mahkamah Persekutuan.










