​Malaysia Ungguli ASEAN, Satu-satunya Negara Capai Tier 1 Kesiapsiagaan PQC

​PUTRAJAYA: Malaysia melakar sejarah apabila diiktiraf sebagai satu-satunya negara di rantau ASEAN yang berjaya mencapai kedudukan Tier 1, iaitu tahap tertinggi dalam penilaian kesiapsiagaan migrasi Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC).

​Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, pengiktirafan tersebut adalah berdasarkan laporan ASEAN Post-Quantum Cryptography Readiness 2026: An Empirical Assessment of the ASEAN-10 bertarikh 1 September 2026.

​Menurut kenyataan itu, pencapaian cemerlang tersebut menobatkan Malaysia di kedudukan teratas selaras dengan keberhasilan pembangunan dan pelaksanaan program migrasi PQC secara aktif berbanding negara jiran yang lain.

​”Kesiapsiagaan PQC merupakan inisiatif strategik Kerajaan Malaysia MADANI bagi memastikan data, sistem, dan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) kekal selamat dan berdaya tahan daripada ancaman teknologi pengkomputeran kuantum.

​”Persediaan awal ini membolehkan peralihan dilaksanakan secara terancang demi memperkukuh keselamatan data dan maklumat Kerajaan, transaksi kewangan, identiti digital, komunikasi serta kesinambungan perkhidmatan kritikal negara,” jelas MKN.

​Laporan penilaian itu telah diterbitkan oleh SITG-Consulting, sebuah firma penasihat bebas berpangkalan di United Kingdom yang mempunyai kepakaran dalam risiko siber dan tadbir urus kriptografi.

Penilaian dibuat secara teliti berdasarkan bukti tindakan dan pelaksanaan peringkat nasional yang boleh disahkan secara terbuka, bukan sekadar bergantung pada kenyataan hasrat semata-mata.

​Berdasarkan laporan tersebut, enam negara jiran iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Singapura, Thailand, dan Vietnam berada di kedudukan Tier 2, diikuti Filipina (Tier 3), Laos (Tier 4), dan Myanmar (Tier 5).

​MKN berkata, inisiatif strategik itu didukung komprehensif menerusi pelbagai dasar nasional termasuk Malaysia Cyber Security Strategy 2025-2030, Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi), Pelan Tindakan MyKriptografi 2026-2030, serta Pelan Migrasi PQC Kebangsaan.

​Tambahnya, prestasi tersebut mencerminkan keberkesanan hala tuju kerajaan yang digerakkan secara bersepadu oleh MKN dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menerusi kepakaran Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia.

​”Bagi mendepani cabaran teknologi masa hadapan, Kerajaan Malaysia MADANI komited untuk terus memperkukuh pelaksanaan Pelan Migrasi PQC Kebangsaan agar NCII kekal selamat, berdaya tahan dan berdaulat.

​”Langkah ini menuntut kerjasama berterusan bersama Ketua-Ketua Sektor NCII, entiti NCII dan pihak industri menerusi penyediaan inventori aset kriptografi, penilaian risiko, pembangunan keupayaan, pengujian teknologi dan pelaksanaan migrasi secara berperingkat seperti yang dirancang,” tegas kenyataan itu lagi.

BBerkaitan

Latest articles