KUALA LUMPUR: Institusi beraja kekal memainkan peranan penting dalam memelihara kestabilan dan keharmonian negara meskipun masyarakat terus berubah mengikut peredaran zaman.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah institusi berkenaan bukan sahaja bertanggungjawab menjunjung perlembagaan, malah menjadi lambang perpaduan yang merentasi perbezaan politik.
Baginda bertitah, kedudukan institusi beraja amat penting dalam memastikan kesinambungan pemerintahan serta memberikan kestabilan ketika negara berdepan pelbagai perubahan.
“Institusi beraja memberikan kestabilan ketika berdepan perubahan dan mengingatkan kita bahawa institusi yang bertahan sepanjang zaman terus memainkan peranan penting dalam memelihara keharmonian negara,” titah baginda dalam wawancara khas sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.
Sultan Sharafuddin bertitah, tanggungjawab baginda sebagai raja berpandukan peruntukan perlembagaan, termasuk kewajipan berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Tanggungjawab beta adalah untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Selangor tanpa pilih kasih atau prasangka,” titah baginda.
Menurut baginda, prinsip perlembagaan, sikap tidak memihak dan keadilan merupakan asas penting untuk memastikan institusi beraja terus mendapat kepercayaan rakyat tanpa mengira pegangan politik masing-masing.
Baginda turut menegaskan bahawa institusi beraja melambangkan kesinambungan, kestabilan, khidmat dan tanggungjawab, dengan kepimpinan perlu dilaksanakan berlandaskan amanah.
“Ia mengingatkan kita bahawa kepimpinan menuntut tanggungjawab, bukannya keistimewaan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, nilai kesederhanaan, perpaduan dan penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang perlu terus dipelihara bagi membentuk masyarakat yang harmoni.










