Sanusi Mengaku Tak Bersalah Dua Pertuduhan, Dakwa Sengaja Jejas Peluangnya Di PRN

KUALA LUMPUR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mempersoal pendakwaan yang dilakukan secara tiba-tiba terhadapnya, selain mendakwa dua pertuduhan yang dihadapinya hari ini bertujuan untuk menyekat peluang beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Apatah lagi dengan siasatan terhadapnya dilakukan dalam tempoh tiga hari.

“Tujuan mereka untuk menjejaskan peluang saya dalam PRN dan saya yakin dengan pertuduhan ini rakyat Malaysia memahami tujuan mereka dan hasrat sebenar disegerakan pendakwaan terhadap saya dengan tiga hari siasatan sahaja.

“Saya hanya mengetahui saya didakwa melalui laporan media. Dan saya bersedia untuk menghadapi kes ini dan saya maklum kepada beberapa pihak saya akan hadir tapi mereka tetap nak buat tangkapan di apartment yang saya duduk.

“Saya beri kerjasama penuh dari awal proses ini berjalan daripada siasatan,” katanya yang ditemui di luar mahkamah hari ini.

Terdahulu Mohammad Sanusi mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Beliau dihadapkan di dua mahkamah berasingan atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada minggu lepas.

Beliau diwakili peguam Datuk Shaharuddin Ali sebagai ketua pembelaan.

Sementara itu, Sanusi berkata, terdapat lagi siasatan terhadap beliau berhubung ceramah sebelum ini.

“Ada siasatan kes lagi yang berkaitan satu ucapan di tempat lain pula. Nampaknya di Malaysia ini tidak boleh bercakap apa, kalau di medan politik biasanya orang akan selesai di medan politik jugak.

“Berikan hujah balas kepada perbincangan kita tetapi oleh kerana kita ada kerajaan yang takut, dia guna polis untuk tahan atau sekat ucapan kita. Nampaknya ahli politik ini telah bangkrap menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat kemarahan rakyat.

“Saya harap ini adalah satu petunjuk bahawa mereka sedang ketakutan dan segala agensi awam akan digunakan untuk menyekat perkembangan kehangatan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu Mohammad Sanusi berkata, beliau tidak dibenarkan untuk membuat sebarang komen mengenai kedua-dua kes berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles