Sanusi: Kenyataan Sejarah Bukan Untuk Cetus Ketegangan Kaum

SEREMBAN: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kenyataannya berkaitan isu sejarah bangsa dan kaum sebelum ini tidak bertujuan mencetuskan ketegangan antara kaum.

Menteri Besar Kedah itu berkata, perbincangan mengenai fakta sejarah perlu dilihat dalam konteks akademik serta kefahaman terhadap latar belakang pembentukan negara, bukannya ditafsir menerusi sudut pandang perkauman sempit.

Menurut beliau, pandangan yang dibangkitkan adalah berasaskan fakta sejarah dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tanpa niat untuk menafikan hak mana-mana kelompok masyarakat.

“Kita hanya bercakap atas dasar fakta sejarah dan perlembagaan. Ia bukan untuk menafikan hak mana-mana kaum, sebaliknya memberi kefahaman yang betul mengenai susur galur sejarah negara,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Biru-kan Seremban, malam tadi.

Muhammad Sanusi berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak lawan yang menyifatkan kenyataan beliau berkaitan isu warisan dan bangsa sebagai boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PN kekal berpegang kepada prinsip keadilan sosial untuk semua rakyat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menggesa semua pihak agar tidak memanipulasi isu sejarah demi kepentingan politik sehingga mencetuskan polemik berpanjangan.

“Keharmonian kaum di Malaysia perlu difahami melalui kebenaran sejarah, bukan dengan menafikan perkara yang telah tercatat dalam sejarah tanah air,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles