Sanusi Akan Dipanggil Beri Keterangan Kes Tayang Kertas Undi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memaklumkan akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memberi keterangan susulan tindakannya mempamerkan kertas undi, ketika hari pengundian Pilihan Raya Negeri, 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata tarikh dan masa bagi sesi memberi keterangan itu akan dimaklumkan kemudian.

Siasatan terhadap kes berkenaan selaras dengan laporan yang diterima berhubung pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan yang berkaitan, katanya lagi.

“Kita akan menyiasat kes itu. Bagi peluang polis siasat dulu, ambil keterangan dan semua (proses).

“Kita menyiasat bila ada laporan. Kalau bagi saya (kes berkenaan) boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya di bawah Seksyen 5(1), Seksyen 26 (1)(g) Seksyen 19(1)(m) yang ini di bawah peraturan- peraturan pilihan raya juga Seksyen 19(7).

“Kita akan lihat menerusi seksyen-seksyen ini, kalau tidak ada kesalahan, tidak adalah,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang baru, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Mes Pegawai Bukit Aman.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Razarudin, hasil laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara sebagai pihak yang berkuasa memutuskan sama ada Muhammad Sanusi layak didakwa atau sebaliknya.

“Bagi menuduh atau tidak bukan pihak kita tapi Peguam Negara dan kita juga mempunyai cadangan-cadangan bila kita hantar kepada Pejabat Peguam Negara dengan melihat semua keterangan yang ada dengan seksyen-seksyen yang bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang unsur penganiayaan terhadap mana-mana pihak.

“Saya bersama 10 pengarah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota dan pegawai tidak akan aniaya orang. Apa juga siasatan kita ke arah keterangan dan kita angkat kepada AGC bukan kita tambah keterangan yang tiada,” jelasnya.

Razarudin , dalam masa yang sama berkata, polis akan menyiasat semua laporan berkenaan penyalahgunaan kad pengenalan individu lain semasa Pilihan Raya Negeri (PRN15) baru-baru ini.

“Masih dalam siasatan dan perkara ini telah berlaku setiap kali pilihan raya jadi siasatan akan diteruskan,” tambahnya.

Sebanyak 94 laporan polis diterima berhubung kesalahan salah guna kad pengenalan pada hari pembuangan undi sempena PRN di enam negeri pada Sabtu lalu.

Sebagai rekod, laporan tertinggi kesalahan itu di Selangor sebanyak 48 kes, diikuti Pulau Pinang (20), Negeri Sembilan (enam), Kelantan (dua) dan sembilan kes masing-masing di Kedah serta Terengganu.

BBerkaitan

Latest articles