KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan tertinggi Siswa BERSATU Malaysia mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada sayap pelajar itu, serta merta.
Peletakan jawatan secara kolektif tersebut turut melibatkan pengguguran keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menerusi satu kenyataan media bersama, keputusan itu dibuat setelah meneliti dan menganalisis keadaan semasa di dalam parti serta gabungan politiknya secara menyeluruh.
Menurut kenyataan itu, mereka menyifatkan langkah tersebut diambil ekoran wujudnya perbezaan ketara antara prinsip yang dipegang dengan hala tuju semasa parti.
”Kami tetap berpegang kepada keyakinan bahawa penyatuan ummah merupakan asas penting dalam memperkukuh kestabilan politik dan memperjuangkan kebajikan rakyat.
”Namun, kami melihat terdapat perbezaan yang semakin ketara antara pendirian tersebut dengan hala tuju semasa parti,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Antara pemimpin utama yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Presiden Siswa BERSATU Malaysia yang juga Ketua Penerangan Armada BERSATU Petaling Jaya, Ameer Hazeem Mohd Zaky; Naib Presiden, Muhammad Hakim Mohd Helmy; Setiausaha Agung, Wan Amir Hakim Wan Mohd Asdi; dan Bendahari Kehormat, Sarah Hannani Ahmad Fikri.
Turut direkodkan bersama dalam keputusan itu ialah Lailatul Zayani binti Awaludin yang telah meletakkan jawatan terlebih awal.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, kepimpinan terbabit menyatakan kesediaan untuk mengalihkan sokongan dan menyertai Gerakan RESET.
Jelas mereka, langkah itu selari dengan Gagasan Konsensus Nasional yang bakal diketengahkan kepada rakyat dalam masa terdekat demi membawa nafas baharu kepada negara.
Dalam masa yang sama, barisan kepimpinan berkenaan turut menzahirkan penghargaan kepada Bersatu atas segala peluang yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka sebelum ini.










