13 MP Bersatu desak parti keluar daripada PN

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 13 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggesa supaya parti itu segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan PAS memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 10 Jun, mereka mendakwa perkembangan tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kepimpinan tertinggi BERSATU didakwa gagal menghormati semangat kebersamaan dalam gabungan tersebut.

Menurut kenyataan itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan parti dikatakan sering mengabaikan pandangan dan teguran yang dibangkitkan oleh wakil rakyat parti berkenaan berhubung hala tuju BERSATU dan hubungan dengan rakan komponen PN.

“Kami selaku Ahli-Ahli Parlimen telah banyak kali memberi teguran secara dalaman kepada Muhyiddin mengenai hala tuju parti dan kepentingan menjaga hubungan dalam PN.

“Malangnya, setiap teguran membina yang kami suarakan langsung tidak diendahkan,” menurut kenyataan tersebut.

Mereka turut mendakwa mekanisme disiplin parti telah digunakan bagi menyekat pandangan yang berbeza dalam kalangan pemimpin dan ahli.

Dalam masa sama, kumpulan Ahli Parlimen itu berpendapat bahawa kedudukan BERSATU dalam PN kini semakin lemah dan tidak lagi memberikan nilai tambah kepada gabungan tersebut.

Malah, mereka mendakwa kelemahan kepimpinan parti berpotensi menjejaskan kestabilan serta kekuatan PN sekiranya BERSATU terus kekal dalam gabungan berkenaan.

Sehubungan itu, mereka menggesa supaya rombakan turut dilakukan terhadap semua lantikan politik serta jawatan Exco yang melibatkan wakil BERSATU di negeri-negeri berkaitan.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh 13 Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Zakri Hassan (Kangar), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Muhammad Islahuddin Abas (Mersing), Kalam Salan (Sabak Bernam), Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu).

BBerkaitan

Latest articles