KUALA LUMPUR,– Saksi pendakwaan, Ramnah Ithnin, memberitahu Mahkamah bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Revenue Group, Datuk Ng Chee Siong atau Ady Ng, mempunyai pengetahuan serta kawalan terhadap transaksi kewangan melibatkan Revenue Harvest Sdn Bhd dan Revenue Solution Sdn Bhd berjumlah RM9.33 juta bagi tempoh antara tahun 2020 hingga 2022.
Ramnah berkata, berdasarkan data yang dikemukakan dalam pernyataan saksinya, beliau percaya Ady Ng merupakan individu yang mengawal serta mengetahui pergerakan transaksi kewangan berkenaan.
Menurutnya, transaksi tersebut adalah sebahagian daripada operasi perniagaan biasa kumpulan syarikat berkenaan.
Beliau turut mengesahkan bahawa aliran masuk dan keluar dana itu adalah selari dengan rekod hasil serta keuntungan yang dilaporkan dalam laporan tahunan Revenue Group.
Ramnah memberi keterangan demikian di hadapan Hakim, Tuan Rosli Ahmad.
Semasa sesi soal balas, Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide, bertanya sama ada Ramnah mempunyai autoriti untuk membuat pengesahan tersebut.
Bagaimanapun, saksi menegaskan bahawa kesimpulannya adalah berdasarkan data yang tertera dalam pernyataan saksinya.
Pihak pembelaan diwakili oleh Datuk Amer Hamzah.










