BN Kembali Kuasai Johor, Bentuk Kerajaan Negeri Selepas Raih Majoriti Mudah

ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) secara rasmi kembali menerajui pentadbiran Johor selepas memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang berlangsung pada hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengesahkan BN berjaya membentuk kerajaan negeri apabila memenangi sekurang-kurangnya 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Beliau berkata, keputusan rasmi itu direkodkan setakat pukul 10.32 malam.

“BN telah memperoleh 29 kerusi DUN, sekali gus mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri. Keputusan seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama SPR di Bangunan Sultan Ismail, malam ini.

Setakat pengumuman tersebut, Pakatan Harapan (PH) hanya berjaya meraih kemenangan di dua kerusi, iaitu Bentayan dan Mengkibol.

Sementara itu, lima parti lain yang turut bertanding gagal memecahkan dominasi BN apabila tidak memenangi sebarang kerusi. Parti terbabit ialah Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Nasib sama turut menimpa enam calon Bebas yang bertanding apabila kesemuanya tewas di kawasan masing-masing.

SPR dijangka terus mengumumkan baki keputusan rasmi sehingga selesai proses pengiraan undi bagi semua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

BBerkaitan

Latest articles