Serangan Terbuka BN-PH Serlah Jurang, Penganalisis Gesa BN Keluar Kerajaan Perpaduan Jika Menang Besar

KUALA LUMPUR: Siri serangan terbuka dan sindiran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat menjadi petunjuk bahawa hubungan kedua-dua gabungan dalam Kerajaan Perpaduan semakin renggang, sekali gus mencetuskan desakan supaya BN mempertimbangkan untuk menarik diri daripada kerajaan selepas pilihan raya itu.

Penganalisis politik, Shahbudin Husin berkata, corak kempen di Johor jelas memperlihatkan BN dan PH lebih cenderung menyerang antara satu sama lain berbanding memberi tumpuan kepada parti lawan, meskipun kedua-duanya merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, situasi tersebut bukan sahaja melibatkan pimpinan tertinggi, malah turut disertai ahli dan penyokong kedua-dua gabungan, sekali gus memberi gambaran hubungan politik antara mereka semakin retak.

“Dalam kempen PRN Johor, PH menyerang BN dan BN menyerang PH. Keadaan ini berlaku bukan sahaja di peringkat pimpinan, malah turut melibatkan ahli serta penyokong kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau mendakwa perkembangan itu menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak lagi mencerminkan semangat kerjasama yang kukuh, malah menyifatkannya sebagai sebuah “kerajaan perpecahan”.

Sehubungan itu, Shahbudin berpandangan sekiranya BN berjaya mengekalkan kemenangan besar termasuk majoriti dua pertiga di Johor, gabungan tersebut wajar mempertimbangkan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan mentadbir negeri itu tanpa penglibatan PH.

Beliau turut mengaitkan pendirian tersebut dengan kenyataan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang sebelum ini dilaporkan tidak berhasrat bekerjasama dengan DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri sekiranya terus diberikan mandat sebagai Menteri Besar.

Menurut Shahbudin, tindakan itu juga akan membolehkan BN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka dengan pendirian politik yang lebih jelas serta bebas daripada kekangan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak akan menggugurkan BN daripada Kerajaan Perpaduan kerana faktor kestabilan pentadbiran Persekutuan sehingga tamat penggal.

Bagaimanapun, beliau berpendapat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perlu mengambil langkah lebih proaktif sekiranya BN memperoleh mandat besar dalam PRN Johor bagi menentukan hala tuju politik gabungan itu selepas ini.

BBerkaitan

Latest articles