RM2 Bil Diperuntuk Untuk Fasiliti Peralihan Tenaga Nasional

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion sebagai dana asas bagi mewujudkan Fasiliti Peralihan Tenaga Nasional.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembiayaan adalah cabaran utama dalam peralihan tenaga daripada konvensional kepada lestari dan mesra alam.

“Kemudahan ini akan membolehkan gabungan kewangan sebagai pemangkin, untuk memastikan kelancaran sumber kewangan bagi projek peralihan tenaga yang ada kekangan pinjaman atau potensi pulangan di bawah pasaran.

“Contohnya, pelaburan dalam rantaian nilai kenderaan elektrik (EV), hidrogen dan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS),” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Pelancaran siri penuh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) hari ini.

Turut hadir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi Tenaga Nasional Bhd, Datuk Abdul Razak Abdul Majid.

Sekurang-kurangnya RM1.2 trilion pelaburan diperlukan antara 2023 dan 2050 bagi membolehkan pelaksanaan peralihan tenaga dilakukan penuh tanggungjawab.

Anwar berkata, dalam dekad ini sahaja, kerajaan memerlukan antara RM60 bilion dan RM90 bilion bagi projek penting, antaranya mengembangan pengangkutan awam, pengukuhan infrastruktur grid dan latihan semula modal insan.

Beliau menegaskan, peralihan tenaga bukanlah satu pilihan justeru kerajaan mengalu-alukan sektor swasta menjadi rakan kongsi dengan mengambil bahagian dan membuat pelaburan.

Kerajaan juga akan mengaktif dan melancarkan Majlis Tenaga Negara untuk memastikan pembangunan dasar dan perancangan tenaga holistik sambil memantau kemajuan NETR.

Tambahnya, kerajaan juga telah menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai 70% kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050 dan menarik balik larangan perdagangan rentas sempadan tenaga berkenaan.

Anwar berkata, penjanaan TBB di Malaysia kini berada pada paras 25%, dan berada di landasan yang betul untuk mendapatkan 31% kapasiti tenaga daripada TBB menjelang 2025 dan 40% menjelang 2040.

Di bawah Perjanjian Paris setiap negara harus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dengan sewajarnya.

Rancangan Malaysia Kedua Belas menjanjikan pelepasan GHG sifar bersih seawal tahun 2050.

Kerajaan katanya, akan menubuh dan melancarkan Bursa Tenaga boleh baharu pada 2024 untuk bertindak sebagai agregator pasaran yang akan membolehkan penemuan harga dan memberi nilai kewangan terhadap kuasa berlebihan.

Turut akan ditubuhkan Platform ESCO (syarikat perkhidmatan tenaga) untuk menghubungkan syarikat swasta yang kebanyakannya Perusahaan Kecil Sederhana dengan projek kerajaan.

Peranan utama platform tersebut sebagai perantara yang menggabungkan projek pengubahsuaian bangunan kerajaan dan menggalakkan penyelarasan awam-swasta dalam pasaran ESCO.

Pelancaran siri penuh NETR diadakan serentak dengan Persidangan Peralihan Tenaga 2023 selama dua hari anjuran TNB bertemakan Mempercepatkan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab.

BBerkaitan

Latest articles