KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki akan didakwa di mahkamah esok atas pertuduhan membunuh seorang penuntut kolej yang mayatnya ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Padang Simah, Ketereh, pada 1 Mei lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan suspek terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, seorang lagi suspek yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes sama telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 19 tahun ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan puluhan kesan tikaman di seluruh badan.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampakkan di kawasan berkenaan.
Sebelum ini, Mohd Yusoff dilaporkan berkata, mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditemukan, namun identitinya berjaya dikenal pasti menerusi semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Susulan kes itu, polis turut menahan empat individu termasuk sepasang warga emas yang merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek bagi membantu siasatan, namun kedua-duanya kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.










