KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, pada Jumaat atas pertuduhan cuba membunuh rakan sekolahnya dalam kejadian tikaman yang menggemparkan sebuah sekolah menengah di Banting, Isnin lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga seorang juvana kerana mahkamah terlebih dahulu mengarahkan remaja berkenaan menjalani penilaian psikiatri.
Prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Maslinda Selamat itu turut dihadiri ahli keluarga tertuduh, selaras dengan peruntukan undang-undang melibatkan pesalah juvana.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya remaja yang hadir memakai baju berhud hitam itu menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Mengikut pertuduhan, pelajar tingkatan tiga itu didakwa cuba membunuh rakannya yang juga berusia 15 tahun dengan menikam mangsa menggunakan pisau sehingga menyebabkan kecederaan, selain didakwa mempunyai niat menyebabkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan sekolah berkenaan kira-kira jam 9.50 pagi pada 6 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan supaya tertuduh, yang dilaporkan menghidap autisme, menjalani pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan pemeriksaan berkenaan.
Media yang hadir lebih awal tidak dibenarkan mengikuti prosiding kerana kes tersebut membabitkan tertuduh di bawah umur.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 9.30 pagi, 6 Julai lalu, mangsa dilaporkan ditikam sebanyak 16 kali oleh rakan sekolahnya ketika berada di kantin semasa waktu rehat.
Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini masih menerima rawatan di hospital.










