KUALA LUMPUR — Polis mengesahkan seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan selepas disyaki mengekori konvoi polis yang mengiringi pergerakan Timbalan Perdana Menteri (I) di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.32 pagi di Kilometer 48.5 lebuh raya berkenaan, dari arah Kajang menghala ke Klang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki yang memandu Honda CR-V itu mengekori konvoi yang dalam perjalanan dari Kajang ke Sunway Medical Centre, Subang Jaya.
“Seorang anggota polis yang bertugas sebagai rider dalam konvoi tersebut telah memberi amaran kepada pemandu supaya tidak mengekori konvoi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, pemandu berkenaan dipercayai tidak mematuhi arahan dan terus mengekori konvoi dengan cara yang boleh membahayakan keselamatan konvoi serta pengguna jalan raya lain.
Susulan itu, Unit Penguatkuasaan JSPT Kuala Lumpur menahan pemandu berkenaan bersama kenderaan terbabit untuk tindakan lanjut.
Mohd Zamzuri berkata, kejadian itu tidak melibatkan sebarang pelanggaran atau kemalangan jalan raya. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 21(1) Akta Polis 1967.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.










