KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) disahkan mengalami kerugian 100 peratus mencecah RM200 juta hasil pelaburan dana pendeposit dalam syarikat Putra Perdana Construction Sdn Bhd yang terbukti dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Kewangan II di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Menteri Kewangan II turut mendedahkan bahawa daripada 14 pelaburan TH yang ditegur di dalam laporan RCI berkenaan, sebanyak tujuh pelaburan telah mengalami kerugian 100 peratus dengan nilai kerugian terkumpul mencecah berbilion ringgit.
Isu integriti, kegagalan pengurusan yang cekap serta campur tangan ahli politik dalam urusan pelaburan dikenal pasti sebagai punca utama kepada kerugian berskala besar institusi kewangan Islam berkenaan.
Menjawab pendedahan rasmi itu, Syed Saddiq menzahirkan rasa kecewa dan mendesak agar Pasukan Tugasan Khas Pelbagai Agensi yang merangkumi SPRM, PDRM, LHDN serta Suruhanjaya Sekuriti (SC) ditubuhkan serta-merta bagi menyiasat skandal berkenaan hingga ke akar umbi.
“Bila saya dengar ini, tidak tahu mahu marah atau menangis. Ini bukan soal politik, tetapi soal masa depan 10 juta pendeposit Tabung Haji,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil langkah susulan termasuk menyediakan campur tangan fiskal untuk pembaharuan TH, mempercepatkan pindaan ke atas Akta Tabung Haji serta menghapuskan sebarang pelantikan politik daripada lembaga pengurusan tabung jemaah haji berkenaan.










