Ramesh Rao Mahu Bantu Murid India Di Sekolah Tamil Yang Miskin Tegar Jalani Persekolahan

KUALA LUMPUR: Guru-guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) khususnya yang mengetahui ada murid mereka yang miskin tegar yang tidak mampu untuk membeli barang keperluan sekolah seperti buku dan pakaian boleh menarik nafas lega.

Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India untuk Timbalan Perdana Menteri Ramesh Rao dalam satu kenyataan hari ini meminta para guru berkenaan untuk menghubungi beliau segera supaya bantuan kepada murid yang memerlukan dapat segera diberikan supaya mereka boleh bersekolah tanpa masalah.

Beliau berkata, pembelajaran dapat dilakukan pada tahap terbaik dengan hati yang tenang dan minda yang sihat serta tidak memikirkan perkara lain seperti kesusahan keluarga.

“Usaha untuk melahirkan individu cemerlang dalam pendidikan perlu dimulakan segera dan segala masalah yang dihadapi untuk menjalani sesi persekolah wajar dibantu sepenuhnya segera untuk mereka belajar dengan sempurna,” katanya.

Ramesh berkata inisiatif ini dibuat dengan usaha beliau sendiri supaya ia dapat diagihkan dengan segera memandangkan bantuan melalui peruntukan kerajaan akan mengambil sedikit masa.

“Saya mulakan usaha ini awal supaya mereka dapat dibantu ketika sesi persekolah masih di peringkat awal, saya akan menggunakan peruntukan sendiri yang ada untuk bantu mereka,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru kepada para di sekolah Tamil khususnya yang tahu ada murid mereka yang amat memerlukan mendapatkan butiran mereka dan menyerahkannya secepat mungkin.

Sesi persekolahan telah bermula pada 3 Januari lepas selepas bercuti selama tiga minggu.

Ramesh dilantik oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India di pejabat beliau untuk membantu semua masalah berkaitan rakyat berbangsa India di seluruh negara.

Anda boleh hubungi Ramesh Rao di talian 012-3560105 dan 016-3112371.

BBerkaitan

Latest articles