KUALA LUMPUR: Karier politik Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kelihatan tenggelam selepas dipecat dari UMNO kembali diselamatkan selepas diajak menyertai Pakatan Harapan (PH).
Sehubungan itu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta Muhyiddin untuk sedar bahawa PH yang mengutipnya tatkala beliau dipecat oleh Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Perdana Menteri dan hilang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Masa kamu kena pecat daripada UMNO pada 2015, yang kutip dia ialah kami dalam PH. Walaupun saya pada masa itu kurang selesa sebab saya rasa tidak yakin Muhyiddin melawan rasuah.
“Saya tengok rekod dia saya teringat masa saya dan Anwar mula-mula bawak 1MDB pada 2011 mana Muhyiddin Yassin, satu patah tidak ada. Mana Muhyiddin Yassin bila aku kena tangkap dan saman, masuk lokap sebab 1MDB, mana Muhyiddin Yassin.
“Masa kamu terpelanting, kami bawa bawak masuk PH dan bantu kamu dalam masa Bersatu parti baru tidak ada apa-apa. Yang kutip kamu adalah orang Melayu, Cina, Islam, India dan Buddha yang ada dalam PH,” kata Rafizi dalam ceramah mega Ayuh Malaysia Kita Boleh di Padang Bolasepak Desa Pinggiran Putra, malam tadi.
Hadir sama adalah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon PH bagi Parlimen Port Dickson, calon PH bagi Parlimen Putrajaya, Dr A Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz dan calon PH Sepang, Raj Muni Aiman Athirah Sabu.
Dalam masa yang sama Rafizi mendakwa beliau tidak yakin Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu betul-betul menentang rasuah ketika kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibongkarkan oleh PH.
“Masa 2014, masa Anwar dan saya dalam Parlimen serang pasal 1MDB, saya ingat mana Muhyiddin Yassin sebab dia duduk sebelah Najib. Najib PM dan dia TPM, bukan sahaja dia duduk, dia gelak kepada kami.
“Sebab itu bila Muhyidin Yassin kena tendang daripada UMNO, walaupun ada simpati sedikit, saya tak yakin dia lawan Najib sebab kebencian dia kepada penyelewengan dan rasuah 1MDB.
“Saya tahu dia mencuba nasib dan bimbang kalau kes 1MDB tidak dikekang dan ditangani dengan baik, UMNO akan kalah PRU14,” katanya lagi.
Muhyiddin kerap kali mengulangi kenyataan bahawa beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas beliau membangkitkan terlalu banyak soalan berkaitan dengan dana kekayaan berdaulat 1MDB, pada tahun 2015.
Turut dipecat ketika itu adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.