JOHOR BAHRU: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 sebagai isyarat jelas bahawa rakyat negeri itu memilih untuk mengekalkan kestabilan politik demi memastikan agenda pembangunan ekonomi terus dipacu.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada BN atas kejayaan meraih kemenangan besar dalam pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu membuktikan Bangsa Johor terus memberikan kepercayaan kepada BN untuk meneruskan kestabilan yang menjadi asas kepada kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada BN atas kemenangan besar mereka di PRN Johor 2026. Ternyata kemenangan itu menjadi bukti Bangsa Johor mahu meneruskan kestabilan sedia ada demi kejayaan ekonomi yang lebih besar,” katanya.
Terdahulu, BN berjaya melepasi ambang majoriti mudah selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan kiraan rasmi di semua saluran setakat jam 8.40 malam.
Dalam hantaran sama, Mohd Puad turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas kejayaan mengetuai BN mencipta kemenangan besar pada PRN kali ini.
Beliau juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada dua bekas rakan seperjuangannya, Yusla Ismail yang memenangi kerusi DUN Senggarang serta Zaidi Japar yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Rengit.
“Saya doakan mereka dapat berkhidmat dengan cemerlang,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Puad mengakui beliau turut membantu kempen dua calon Pakatan Harapan (PH), namun menjelaskan sokongan itu diberikan atas dasar hubungan peribadi dengan kedua-dua calon berkenaan.
Menyentuh mengenai hala tuju politiknya selepas ini, beliau enggan mengulas panjang dan hanya memberikan bayangan ringkas.
“Saya membantu kempen dua calon PH atas kapasiti peribadi mereka. Apakah hala tuju politik saya selepas ini? Hanya Allah yang tahu. Selebihnya, ‘business as usual’,” katanya.
Pada 25 Jun lalu, Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO serta-merta dengan mendakwa parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan dan berada di bawah kawalan istana.










