PRU16: UMNO Perlis Sedia Tempur Solo 15 Kerusi DUN, 3 Parlimen

ARAU: UMNO Perlis memilih untuk tidak menunggu sebarang rundingan politik sebaliknya mula menyusun kekuatan untuk menghadapi pilihan raya akan datang secara solo di kesemua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, sehingga kini tiada sebarang rundingan rasmi diadakan dengan mana-mana parti, termasuk Perikatan Nasional (PN).

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan tumpuan parti ketika ini tidak terganggu dan seluruh jentera dapat diperkemaskan di setiap kawasan.

“Dalam konteks Perlis, kita tidak ada apa-apa perbincangan dengan mana-mana parti, termasuk PN.

“Hasrat ahli dan gerak kerja yang telah kita susun adalah untuk terus bekerja di 15 DUN dan tiga Parlimen. Itu hala tuju UMNO Perlis buat masa ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau di Dewan Sivik Arau, malam tadi.

Rozabil berkata, memang terdapat pihak yang cuba menghubunginya bagi mengatur pertemuan, namun beliau menganggap masa untuk membincangkan kerjasama pilihan raya masih belum sesuai.

Menurutnya, keutamaan UMNO Perlis sekarang adalah memperkuatkan jentera dan memastikan parti benar-benar bersedia sekiranya pilihan raya diadakan pada bila-bila masa.

“Bukan kita mahu mendabik dada kononnya boleh menang secara solo. Tetapi gerak kerja kita disusun seolah-olah kita akan bertanding solo.

“Soal kerjasama selepas ini, kita serahkan kepada keputusan pucuk pimpinan,” katanya.

UMNO Perlis sebelum ini gagal memenangi sebarang kerusi di negeri itu pada pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, Rozabil percaya keputusan tersebut tidak akan berulang, malah menyifatkan kekalahan berkenaan sebagai pengalaman yang sedang diterjemahkan kepada usaha membina semula kekuatan parti.

Beliau berkata, keyakinan itu turut didorong perkembangan sokongan rakyat yang didakwa semakin berubah sejak kebelakangan ini.

Dalam masa sama, Rozabil mendakwa pentadbiran kerajaan PN di Perlis masih belum menunjukkan pencapaian pembangunan yang ketara, khususnya dalam menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan kepada golongan muda.

“Rakyat Perlis sudah memberi peluang kepada PN untuk mentadbir, tetapi sehingga sekarang kita tidak nampak perkembangan pembangunan yang ketara, terutama dari segi peluang pekerjaan dan ekonomi untuk anak muda.

“Kita akui pentadbiran BN dahulu mempunyai kelemahan, tetapi jika dibandingkan dengan pentadbiran sekarang, perbezaannya jauh,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata jentera UMNO termasuk sayap Wanita menerusi Jalinan Rakyat (JR) di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) sudah digerakkan lebih awal, seolah-olah pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa.

Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan UMNO Perlis tidak lagi berada dalam keadaan kelam-kabut apabila tiba masa untuk menghadapi pilihan raya.

BBerkaitan

Latest articles