Laporan Polis Lewat 441 Hari Antara Faktor Da’i Syed Dibebaskan

PUTRAJAYA: Kelewatan pengadu membuat laporan polis selama 441 hari serta rekod komunikasi dengan pendakwah selebriti, Da’i Syed, menjadi antara faktor dipertimbangkan Mahkamah Rayuan sebelum mengetepikan sabitan rogol terhadapnya.

Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1 hari ini, melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, daripada hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hakim Datuk Azman Abdullah berkata, mahkamah meneliti kelakuan pengadu sebelum, semasa dan selepas kejadian, termasuk komunikasi menerusi WhatsApp dan Instagram serta kelewatan membuat laporan polis.

Menurutnya, mahkamah terdahulu melakukan kesilapan serius dalam penilaian sehingga wajar campur tangan terhadap sabitan berkenaan.

Mahkamah turut mengambil kira hujahan pembelaan bahawa hubungan seksual antara tertuduh dan pengadu berlaku atas kerelaan wanita itu, selain rekod komunikasi yang menunjukkan pengadu beberapa kali memulakan perbualan dan mengajak tertuduh bertemu.

Bagaimanapun, pendakwaan berhujah kelewatan laporan polis telah dijelaskan melalui keterangan psikiatri, termasuk keadaan emosi pengadu yang mengalami trauma dan kesukaran memahami proses perundangan.

Azman menegaskan elemen utama kesalahan rogol ialah ketiadaan kerelaan, dan kemurungan atau kenaifan seseorang tidak boleh secara automatik dijadikan alasan untuk menafikan kerelaan.

Da’i Syed sebelum ini disabitkan atas tuduhan merogol wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Shah Alam, kira-kira jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya dan mengetepikan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen dan disahkan Mahkamah Tinggi, sekali gus membebaskannya daripada pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

BBerkaitan

Latest articles