KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi amaran keras kepada kerabat diraja dan orang besar negeri supaya tidak menyalahgunakan nama istana, gelaran kebesaran serta hubungan dengan institusi diraja demi kepentingan peribadi.
Baginda menegaskan, gelaran kebesaran bukan tiket untuk mengaut keuntungan atau mencampuri urusan pentadbiran kerajaan, sebaliknya membawa amanah dan tanggungjawab yang wajib dipelihara.
Baginda turut memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbukti menggunakan nama Kesultanan Pahang atau mendakwa mendapat perkenan baginda bagi memperdaya pihak lain.
“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti menyalahgunakan nama institusi Kesultanan Pahang. Tindakan sewajarnya hendaklah diambil tanpa mengira pangkat, gelaran mahupun pertalian kekeluargaan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-121 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, baginda menjelaskan perubahan sistem pentadbiran moden menyaksikan urusan kerajaan kini dilaksanakan menerusi Menteri Besar, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan jentera perkhidmatan awam berdasarkan Perlembagaan serta undang-undang.
Justeru, gelaran kebesaran dan kedudukan sebagai kerabat diraja tidak memberikan kuasa secara automatik untuk mencampuri urusan pentadbiran negeri.
Sebaliknya, golongan pembesar dan kerabat bergelar perlu membuktikan peranan mereka melalui kebijaksanaan, kesetiaan, keteladanan serta khidmat kepada rakyat.
Baginda turut mengingatkan bahawa sejarah pemerintahan Pahang sejak 556 tahun lalu meletakkan amanah besar kepada Raja, Bendahara, Orang Besar dan kerabat diraja untuk mempertahankan adat istiadat, kedaulatan institusi diraja serta keharmonian masyarakat.
Titah baginda, kemuliaan Kesultanan Pahang tidak seharusnya sekadar dibanggakan melalui gelaran dan keturunan, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan yang mencerminkan amanah serta tanggungjawab terhadap negeri dan rakyat.










