PRN Sarawak: Hanya Lima Pemimpin Tertinggi Parti Sahaja Dibenar Rentas Negeri, Berkempen

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menyiarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, dimana di antaranya adalah membenarkan hanya lima pemimpin tertinggi setiap parti bertanding untuk aktiviti rentas negeri dan berkempen.

Nama-nama pemimpin parti itu perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak.

Bagi aktiviti jentera parti dan calon bertanding pula, SPR menetapkan setiap individu dikehendaki menjalani ujian kendiri COVID-19 setiap dua hari sepanjang kempen pilihan raya berlangsung dengan kos ditanggung sendiri.

Ujian terbabit perlu dibuat di Bilik Gerakan Parti atau calon perlu direkodkan dalam MySejahtera atau dicatat dalam buku.

Hanya maksimum lima pemimpin parti kanan termasuk pegawai yang mengiring, pengawal dan pemandu tidak termasuk calon serta ejen pilihan raya bagi setiap parti politik yang bertanding dibenarkan untuk merentas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan berkempen pada satu-satu lokasi dan pada satu-satu masa dengan semua yang terbabit perlu lengkap divaksinasi.

Untuk menyebarkan aktiviti kempen, kesemua calon digalakkan menggunakan aplikasi media sosial dan menggunakan rangkaian televisyen serta akhbar tempatan untuk mempromosikan kempen selaras dengan norma baharu.

Selain itu, calon dibenarkan untuk berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara atau peralatan multimedia pada waktu yang ditetapkan dengan mendapatkan permit dari polis terlebih dahulu.

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, pengundian awal pada 14 Disember, manakala hari mengundi pada 18 Disember depan.

BBerkaitan

Latest articles