PRN: PAS Terengganu Adakan Perbincangan Dengan Pimpinan Negeri PH

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di tiga negeri yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya ia dapat diadakan secara serentak.

Tambah beliau, perjumpaan itu dijadualkan pada minggu hadapan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; Menteri Besar, Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Menurutnya, walaupun pertemuan tidak rasmi telah pun diadakan akhir tahun lalu, namun tidak ada sebarang keputusan yang dicapai berhubung tarikh yang sesuai untuk PRN diadakan serentak di enam negeri terlibat.

“Keputusan sama ada PRN akan diadakan serentak atau tidak kami akan bincang dulu,” katanya selepas majlis Apresiasi Penerima Biasiswa Young Talent Scholarship Programme (YT-TI) 2022 di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berharap PRN dapat diadakan serentak bagi memudahkan rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskan pilihan raya tersebut.

“Kemungkinan untuk tidak berlaku serentak atau tak itu ada. Tidak ada mana-mana pihak boleh paksa negeri-negeri lain untuk jalankan PRN sekali. Tetapi tiga negeri PAS telah sepakat akan buat pada tarikh sama,” kata beliau.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebelum ini menegaskan, bahawa parti itu akan membuat keputusan sendiri berhubung tarikh PRN bagi tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Abdul Hadi turut menyerahkan kepada PH untuk membubarkan DUN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor itu serentak dengan tiga negeri pentadbiran Pas atau sebaliknya.

BBerkaitan

Latest articles