MUAR: PAS memberi bayangan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan negeri Johor sekiranya parti itu gagal memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Perikatan Nasional (PN) termasuk PAS sedia memberikan sokongan yang diperlukan bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk, malah tidak keberatan menyokong UMNO menerajui pentadbiran negeri.
Menurut beliau, jika UMNO memperoleh kemenangan tetapi tidak mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, PAS boleh membantu melengkapkan majoriti berdasarkan bilangan kerusi yang dimenangi gabungan itu.
Katanya, sokongan tersebut bukan sahaja bagi mencapai majoriti mudah, malah jika diperlukan untuk membentuk majoriti dua pertiga, PAS juga bersedia memainkan peranan bergantung kepada kekuatan kerusi yang dimiliki selepas keputusan PRN diumumkan.
“Jika UMNO sudah mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi, maka tiada sebarang isu. Namun jika terdapat kekurangan, PAS boleh membantu demi memastikan kuasa politik Melayu-Islam terus kukuh dan tidak dikuasai pihak yang dianggap ekstrem,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ceramah Grand Finale PRN Johor di Simpang Jeram, Bakri, Muar, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PN yang juga Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta kesemua 11 calon PAS yang bertanding pada PRN Johor.
Dalam masa sama, Abdul Hadi menegaskan PAS tidak meletakkan sebarang syarat untuk mendapatkan jawatan Menteri Besar mahupun kerusi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sekiranya kerjasama itu menjadi kenyataan.










