KUALA LUMPUR: 12 Ogos depan ditetapkan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya juga menetapkan 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian awal pula pada 8 Ogos ini.
Beliau berkata, penetapan tarikh-tarikh penting itu dibuat secara serentak bagi memudahkan pihaknya menyelaras perjalanan PRN termasuk kempen.
“Tempoh berkempen pula ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai 2023 (Sabtu) sehingga pukul 11.598/ malam, 11 Ogos 2023 (Jumaat),” katanya pada sidang media di Menara SPR, selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN di enam negeri hari ini.
Mesyuarat itu susulan penerimaan notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker DUN masing-masing.
Dalam pada itu, Abdul Ghani juga berkata, PRN di enam negeri itu menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemaskini sehingga 21 Jun 2023.
“DPPR bagi PRN ke-15 ini mengandungi seramai 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 tentera dan pasangan, 47,728 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 1,727 pengundi tidak hadir luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, PRN ke-15 diadakan bagi mengisi kekosongan 245 kerusi DUN di enam negeri terlibat.
“Antaranya 36 kerusi Dewan Negeri Kedah, 45 kerusi Dewan Negeri Kelantan, 32 kerusi DUN Terengganu, 40 kerusi DUN Pulau Pinang, 56 Dewan Negeri Selangor dan 36 kerusi Dewan Negeri Negeri Sembilan,” katanya.
Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara sudah dibuka bermula daripada 15 Jun lalu.
“Tarikh tutup permohonan 26 Julai bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media.
“8 Julai pula bagi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan 11 Julai membabitkan kategori 1C iaitu agensi dan organisasi,” katanya.
Abdul Ghani berkata, seramai 153,760 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN ke-15.
Sebanyak 3,190 pusat mengundi biasa yang mengandungi 17,048 tempat mengundi atau saluran dan 260 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 3,450 buah dengan 17,425 tempat mengundi atau saluran.
“PRN ke-15 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM420 juta,” katanya.