PPBM terbuka sertai MN bersama Umno, PAS- Wan Saiful

PPBM masih terbuka menyertai Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan Umno dan PAS.

Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan berkata, keterbukaan menyertai gagasan itu adalah kerana parti itu mahukan penyatuan dengan semua parti, termasuklah Umno, bagi memperkukuh kestabilan politik negara.

“Sikap kita sentiasa terbuka (menyertai MN), kita sentiasa mendahulukan penyatuan. Kalau boleh dapat dikekalkan (kesatuan dengan Umno, PAS dalam MN) kita nak dikekalkan.

“Kita tak sekali-kali mengatakan kita tak nak bersatu dengan parti lain,” kata beliau kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin.

Kata Wan Saiful, agenda parti itu jelas iaitu supaya penyatuan dalam politik dapat dicapai agar sebuah kerajaan stabil yang membawa manfaat kepada rakyat boleh dibentuk.

“Fokus kita adalah kestabilan politik, dengan itu kita yakin kita boleh memberi khidmat lebih baik,” tambah beliau.

Wan Saiful berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam yang menuntut PPBM tetap dijadikan ahli komponen Muafakat Nasional, di sebalik penegasan Umno mahu menamatkan kerjasama dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan berasingan di Facebook, Wan Saiful juga menafikan bahawa PPBM menolak penyatuan dengan MN. Malah, kata beliau, PPBM dijemput menyertai MN dan bersetuju menyertainya tahun lalu, namun tiada tindakan lanjut diambil mengenainya.

“Bila kita dah balas surat dan nyatakan persetujuan, tidak ada tindak balas rasmi mengenai status selanjutnya. Saya sendiri tertanya-tanya apa status jemputan itu sekarang,” kata beliau.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno meminta PAS menyatakan pendirian jelas sama ada parti Islam itu mahu bersama MN atau PN pada pilihan raya umum akan datang, sementara PAS tegas dengan pendirian mereka untuk terus memperkukuhkan MN dan mempertahankan MN.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,802FollowersFollow
20,900SubscribersSubscribe

Terkini