Polis Selesai Rakam Keterangan Tommy

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai mengambil keterangan daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung buku tulisannya bertajuk ‘MyStory: Justice in the Wilderness’.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tindakan itu diambil susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas dakwaan dalam buku tersebut yang ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri.

“Arahan yang disampaikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) supaya siasatan lanjut segera dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih, yang ditulis dalam buku itu.

Buku tersebut mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.

Pada 29 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, siasatan buku itu sudah selesai dengan mengenalpasti 19 isu penting.

Menurut Noorsiah, kertas siasatan akan diserahkan semula kepada Jabatan Peguam Negara pada Isnin ini untuk arahan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles