Polis Cari Pemandu E-hailing, Kesan Penumpang Didakwa Hina Islam, al-Quran

JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan seorang pemandu e-hailing bagi membantu siasatan berhubung satu rakaman video tular yang memaparkan seorang penumpang lelaki didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap agama Islam dan al-Quran.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pengesanan pemandu berkenaan penting bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti identiti penumpang yang terlibat dalam kejadian itu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati insiden berkenaan berlaku kira-kira jam 5.55 petang kelmarin di sekitar bandar raya Johor Bahru, manakala rakaman yang tular dipercayai diperoleh daripada kamera papan pemuka (dashcam) milik pemandu e-hailing terbabit.

Beliau berkata, berdasarkan video berdurasi dua minit 20 saat itu, pemandu e-hailing berkenaan dilihat menegur dan membidas kenyataan penumpang yang didakwa menghina Islam serta al-Quran, selain menasihatinya supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata sedemikian.

Rakaman itu turut memperdengarkan penumpang terbabit memohon maaf sebelum dipercayai turun dari kenderaan selepas pemandu berhenti di bahu jalan.

Terdahulu, Azrul Hisham memaklumkan polis menerima satu laporan berhubung video tular itu pada jam 3.25 petang semalam.

Laporan berkenaan dibuat oleh seorang pegawai polis yang menemui hantaran video tersebut di Facebook kira-kira sejam lebih awal.

Katanya, pengadu mendakwa kandungan video berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati kerana menyentuh sensitiviti masyarakat serta mencemarkan kesucian agama Islam.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

BBerkaitan

Latest articles